Friday, October 10, 2008

Politik Islam


Sistem politik Islam bermula pada zaman Rasulullah s.a.w. yang dimulai dengan pembentukan kerajaan Islam yang pertama di dunia. Rasulullah s.a.w. berjaya membentuk sebuah kerajaan yang amat sistematik di samping penduduknya hidup aman dan makmur walaupun dalam pelbagai kaum pada ketika itu. Kejayaan Rasulullah s.a.w. ini didorong oleh dasar-dasar baginda yang menjadikan al-Quran dan al-Sunnah di dalam pentadbirannya.

Antara matlamat sistem pentadbiran/ politik Islam ialah:

1) Hifzuddin ( menjaga agama )

Menjaga agama dan mendirikannya menjadi prinsip asas dalam melaksanakan perintah Allah dan hukum syarak dalam semua peringkat dan keadaan. Oleh itu, aspek hifzuddin ini perlulah menjadi prioriti dalam melaksanakan pentadbiran Islam. Ia selaras dengan ayat Al-Quran dalam Surah al-Haj ayat 41 yang bermaksud :

"( iaitu ) orang-orang yang jika Kami berikan kedudukan di bumi, mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah kemungkaran, dan kepada Allahlah kembali segala urusan.."


2) Hifzul 'aql ( menjaga akal )

Tujuan memelihara akal dalam pentadbiran Islam atau politik Islam ialah untuk mencegah manusia agar tidak mudah dicerobohi atau dikotori oleh sifat-sifat mazmumah dari segi rohani, jasmani dan mental. Gejala-gejala yang boleh merosakkan akal hendaklah dijauhi seperti arak, dadah dan sebagainya. Apabila akal sihat dan terpelihara dari sebarang kejahatan, maka pelaksanaan pentadbiran akan berjalan dengan lancar di atas landasan Islam yang sebenar.


3) Hifzunnafs ( menjaga jiwa )

Menjaga jiwa juga merupakan antara matlamat sistem politik Islam. Islam amat menitik beratkan soal menjaga jiwa. Setiap jiwa manusia mempunyai nilai yang sangat tinggi yang perlu dipelihara dengan sebaiknya. Pembunuhan, pencerobohan ke atas jiwa-jiwa manusia tidak boleh berlaku sewenang-wenangnya. Oleh itu, pelaksanaan syariah seperti Qisas dan hudud dalam sistem pentadbiran Islam dapat menghalang perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t. daripada berlaku dengan berleluasa.


4) Hifz al-syarf ( menjaga kemuliaan / kehormatan )

Kemuliaan ummah perlu dipelihara agar umat Islam sentiasa dipandang tinggi dan tidak mudah untuk diperkotak-katikkan. Dunia hari ini dapat dilihat bahawa umat Islam di sesetengah negara ditindas dan diperlakukan seperti nyawa yang tidak bernilai. Ia terjadi kerana sistem pentadbirannya goyah dan jauh dari landasan Islam sebenarnya. Seharusnya memelihara kemuliaan ummah ini dapat dipraktikkan dengan mengaplikasikan ahklak Islam dalam bermuamalah dalam setiap situasi dan keadaan.


5) Hifzulmal ( menjaga harta )

Pentadbiran Islam juga bertujuan untuk menjaga harta awam dan individu dan membantu untuk memperolehinya melalui jalan yang halal. Undang-undang Islam yang telah ditetapkan melindungi harta awam dan individu daripada dicerobohi dan dimusnahkan. Maka keamanan dan kemajuan dapat diperolehi apabila setiap individu dipandu dengan sistem pentadbiran Islam


No comments: