Thursday, October 9, 2008

Pendidikan Anak-Anak

Anak-anak adalah anugerah dan amanah dari Allah kepada setiap insan yang bergelar ibu bapa. Kelahiran anak amat dinantikan oleh setiap ibu bapa. Belumpun tiba kelahiran si anak, ibu dan ayah telah merancang masa depan si anak. Sudah tentu setiap ibubapa mahukan anak mereka menjadi anak yang soleh dan insan yang akan membela keluarga, agama, bangsa dan negaranya.

Namun, apa yang menyedihkan situasi masa kini, anak-anak ramai yang telah rosak akhlaknya. seringkali kita mendengar kes-kes seperti pergaduhan, lepak, ponteng sekolah, dadah, kegiatan seks rambang dan yang terkini pelajar perempuan membelasah guru perempuannya. Di mana nilai akhlak anak-anak muda Islam kini?

Pendidikan anak-anak bermula dari rumah. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang utama, bukan hanya lepas tangan kepada guru atau pembantu rumah sahaja. Walau sesibuk mana ibu bapa dalam mencari rezeki, namun perhatian dan kasih sayang terhadap anak-anak tidak bolah diabaikan. Bukan mudah untuk mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh. Anak-anak zaman sekarang bukan lagi seperti anak-anak zaman dahulu yang sentiasa patuh dan taatkan ibu bapa. Anak-anak zaman sekarang sudah bijak dan terdedah kepada persekitaran yang pelbagai hasil dari kemajuan teknologi. Namun, jika sesuai dengan teknik-teknik yang digunakan, anak-anak akan mudah menjadi seperti yang dimahukan. Segalanya perlu bermula dari ibubapa itu sendiri. Ibubapa perlu menjadi "role model" terbaik untuk anak-anak. Demi mencapai sesuatu kejayaan, ia perlu disertai dengan usaha.

Antara teknik-tenik yang boleh digunakan untuk mendidik anak-anak menjadi manusia cemerlang ialah :-

1) Menerapkan nilai-nilai keislaman dalam diri anak-anak

Ia boleh dimulakan dengan mengamalkan solat berjamaah, mengaji berjamaah, makan berjamaah dan sentiasa melakukan aktiviti secara berjamaah. Melalui cara ini, ibubapa dapat menerapkan nilai-nilai keislaman secara tidak langsung di samping mengeratkan lagi hubungan antara ibubapa dan anak-anak.


2) Menjadi sahabat kepada anak-anak

Sejak anak-anak kecil lagi, kita hendaklah selalu berdampingan dengan anak-anak. Luangkan masa untuk bermain bersama mereka, mendengar cerita-cerita mereka dan fahami kehendak naluri mereka. Apabila mereka telah meningkat remaja, peringkat ini amat memerlukan bimbingan dari ibubapa. Ini kerana pada peringkat ini remaja mengalami krisis identiti. Peranan ibubapa amat penting dalam memberi sokongan, panduan dan bimbingan. Anak-anak tidak seharusnya dibiarkan sendirian dalam mencari identiti kerana ia boleh membawa kemusnahan jika mereka tersalah untuk memilih haluan hidup yang betul. Apabila hubungan ibubapa dan anak-anak akrab, maka segala perubahan yang dialami oleh anak-anak dapat diketahui oleh ibubapa. Anak-anak juga akan merasa disayangi dan mempunyai tempat untuk berlindung.


3) Tegas vs sayang

Menyayangi anak-anak bukan bermaksud kita membenarkan apa sahaja yang dilakukannya walaupun ia merupakan satu kesalahan. Jika anak-anak melakukan kesilapan, kita perlu menegurnya menggunakan kebijaksanaan. Jangan selalu berkasar dengan anak-anak melainkan jika betul-betul situasi memerlukan. Apabila si ayah memarahi anak-anak, si ibu pula perlu mengambil peranan untuk memujuk anak tersebut dengan menyatakan teguran untuk mereka adalah demi kebaikan mereka di masa akan datang. Jangan pula ibu dan bapa memarahi anak-anak dalam masa yang sama kerana ia akan mengakibatkan si anak jauh hati dan merasakan ibubapanya tidak lagi manyayanginya.


4) Menghormati dan anak-anak

Bukan bermakna apabila bergelar ibu bapa memberikan kuasa veto sepenuhnya. Ibubapa yang bijak akan menghormati anak-anaknya. Tidak untuk disembah ataupun menjadi hamba kepada anak-anak. Hormat di sini bermaksud menghormati kehendaknya, pendiriannya, idea-ideanya selagi tidak keterlaluan dan tidak bertentangan dengan syarak. Sentiasa mengadakan perjumpaan keluarga untuk mendengar apa juga masalah yang dihadapi anak-anak. Sebaik-baiknya janganlah terlalu mengikut ego sebagai ibubapa, biarlah berpada-pada. Kadangkala, ibubapa salah dan anak-anak betul. Melalui cara ini, anak-anak tidak mudah memberontak kerana mereka merasakan yang mereka amat disayangi dan dihargai.


5) Menghargai anak-anak

Anak-anak juga mempunyai perasaan mereka sendiri. Apabila si anak memperolehi sesuatu kejayaan, tidak salah untuk diraikan. Berilah mereka hadiah ataupun keluar makan bersama untuk meraikan kejayaan mereka. Ini akan menaikkan lagi semangat mereka untuk lebih berusaha dan berjaya di masa akan datang.

1 comment:

nakhoda islam said...

Assalammualaikum....
Alhamdulillah...artikel awak menarik. Jika masyarakat Islam mengamalkan segala teknik-teknik dalam pendidikan anak-anak, isnya Allah anak-anak umat Islam akan menjadi cemerlang tidak kira ape jua bidang. sekaligus membawa nama baik Islam itu sendiri.
-insan biasa-