Saturday, September 27, 2008

Ramadhan dan Syawal bulan untuk komersial: CAP

Haramkan iklan peralat Ramadan, raya




SM Mohamed Idris | Jul 31, 08 9:46pm





Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa kesal dengan keghairahan pihak-pihak tertentu di negara ini yang mula mengkomersialkan sambutan Aidil Fitri serta mempromosikan tabiat berbelanja secara membazir dalam kalangan masyarakat kita hari ini.


Hal ini bukan sahaja berlawanan dengan ajaran Islam, malah menjejaskan iman seseorang Muslim. Pusat-pusat membeli-belah dan syarikat-syarikat korporat kini mula menggunakan sambutan Aidil Fitri untuk mengiklankan produk dan khidmat mereka.

Terbaru, di akhbar tempatan terdapat syarikat yang menjual perabot dan barangan elektrik mula mengiklankan produk mereka dengan kata-kata “Syawal Mega Sale!” dan “Jualan Syawal Mega!”, sedangkan kita masih berada di bulan Rejab dan dua bulan lagi iaitu Syaaban dan Ramadhan untuk dilalui sebelum menyambut Aidil Fitri.

Kami yakin apabila tiba pula Ramadhan nanti, akan bertambahlah lagi pusat-pusat membeli-belah yang akan mempromosikan jualan dengan pelbagai slogan untuk menarik umat Islam dan pengguna membeli- belah seperti yang berlaku pada 2005 apabila terdapat iklan “Buka Puasa Contest”.

Seperti tahun-tahun lepas, kami mendapati pusat-pusat beli-belah sering dipenuhi dengan pembeli-pembeli pada setiap malam, sedangkan mereka sepatutnya memenuhi masjid dan surau untuk menunaikan solat tarawih.

Mereka yang berpendapatan rendah sering turut terpengaruh oleh iklan-iklan agresif sehingga memerangkap mereka untuk membeli barangan mahal yang sebenarnya tidak perlu dan membazir yang akhirnya terheret dalam hutang yang membebankan.

Akibatnya, sumber dan pendapatan mereka yang sangat terbatas - lebih-lebih lagi dalam keadaan harga minyak yang mahal serta harga barangan yang semakin meningkat ini - menyebakan ia disalurkan dan terhakis kepada penggunaan yang membazir dan tidak berguna.

Media cetak dan elektronik nampaknya turut menyumbang kepada berkembangnya dalam kalangan masyarakat budaya hedonisme dan materialisme di dalam bulan suci Ramadhan dan Syawal melalui iklan agresif yang licik untuk mempengaruhi minda, selera dan nafsu pelanggan termasuk acara hiburan yang melanggar syarak.

Ramadhan dan Aidil Fitri menjadi kesempatan untuk merangsang pengguna kepada tabiat penggunaan yang berlebihan.

Filem, drama, dan program sukan di TV disiarkan pada setiap malam melekakan masyarakat daripada pergi ke masjid dan surau.

Golongan lelaki, wanita, belia dan kanak-kanak turut didedahkan kepada keganasan, jenayah, dan tingkah laku tidak berakhlak melalui pelbagai siaran di saluran TV pada waktu maghrib, isyak dan seluruh malam sedangkan mereka sepatutnya menggunakan waktu itu untuk memperbanyakkan solat dan membaca al-Quran.

Namun, sebaliknya umat Islam kini didorong untuk berbelanja dan menggunakan secara berlebihan dan membazir sedangkan sumber ekonomi masyarakat Islam amat terbatas. Hal ini berleluasa setiap kali tiba bulan Ramadhan dan sambutan Aidil Fitri.

Sehubungan itu, CAP menggesa langkah segera diambil untuk menyekat kecenderungan yang tidak sihat dan bercanggah dengan nilai-nilai Islam dan kami mencadangkan langkah-langkah berikut diambil:

1. Mengharamkan dengan segera sebarang iklan yang menggunakan Ramadhan dan Aidil Fitri untuk mempromosi produk atau perkhidmatan.

2. Menggesa pihak media elektronik tidak menyiarkan sebarang program yang bercanggah dengan ruh Ramadhan, sebaliknya menyiarkan program-program yang meningkatkan pembinaan kerohanian masyarakat.

3. Suatu usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilancarkan oleh pihak kerajaan bersama dengan badan-badan Islam untuk menanamkan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat.

SM Mohamed Idris adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)




Institusi Keluarga Yang Tiada Jaminan Aqidah


I
su murtad baru-baru ini kembali hangat apabila Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang membenarkan permohonan Siti Fatimah Tan Abdullah(Tan Ean Huang), 38 tahun, mengisytiharkan dirinya keluar Islam. Kes pertama di Malaysia yang dibicarakan ketika plainatif masih hidup ini melibatkan tuntutan murtad yang difailkan pada 10 Julai 2006 lagi dan pada 8 Mei 2008, permohonannya diterima malah sijil pemelukan Islam Siti Fatimah turut diarahkan untuk dibatalkan.

Jika ditelusuri sejarah pengislaman wanita ini, segalanya bermula apabila dia mengambil keputusan serius untuk berkahwin dengan seorang lelaki warga negara Iran bernama Ferdoun Ashanian. Siti Fatimah sendiri mendakwa bahawa dia tidak pernah yakin dengan ajaran Islam walaupun telah memeluk Islam sejak 25 Julai 1998 dan berkahwin dengan Ferdoun pada 16 Sept 2004. Tindakan Siti Fatimah ini hanya sekadar ‘cukup syarat’ bagi membolehkannya berkahwin dan bukanlah atas dasar keinginan yang ikhlas untuk menganuti Islam.


Di sini dapat dilihat betapa rapuhnya institusi kekeluargaan Islam yang cuba dibina hinggakan permasalahan murtad yang serius dan tidak patut timbul ini berlaku. Keikhlasan dalam memeluk Islam yang boleh dipertikaikan di tambah dengan sikap pasangan yang mungkin tidak membantu dalam proses kefahaman Islam pasangannya menyebabkan keluarga tersebut musnah. Dalam kes ini, Siti Fatimah mendakwa dia tidak pernah mengamalkan Islam sejak memeluk Islam dan masih menyembah berhala mengikut ajaran agama Budha. Masakan perkara sebegini boleh berlaku sekiranya si suami mengambil serius kondisi Siti Fatimah sebagai seorang muallaf. Jelaslah walaupun si suami beragama Islam dan berasal dari sebuah negara Islam, masih tiada jaminan untuk si isteri diberi bimbingan serta tunjuk ajar dalam mengenali dan mempraktikkan Islam dalam kehidupan. Kesannya, perkahwinan yang dibina gagal bertahan lama dan paling menyedihkan kita sebagai umat Islam adalah permohonan keluar Islam yang difailkan oleh Siti Fatimah.


Agama Islam turut menerima impak negatif yang besar. Pensamarataan hak dalam beragama kini dilihat boleh diaplikasikan untuk semua agama walaupun Islam telah menggariskan bahawa murtad adalah dosa yang besar. Andai didalami permasalahan ini, di mana pula fungsi badan-badan Islam dalam memantau saudara-saudara baru? Adakah selepas tuntutan murtad difailkan baru dipanggil untuk sesi kaunseling agama sedangkan golongan muallaf ini perlu dipantau sedari awal mereka memilih jalan Islam?


Fenomena perkahwinan dengan lelaki/wanita warga asing atau beragama selain Islam bukanlah satu perkara baru di negara kita. Di dada-dada akhbar mahupun kaca televisyen kerap kali menyiarkan perkahwinan sedemikian yang kebanyakannya melibatkan artis atau personaliti ternama. Penulis bukan bertujuan menunding jari menyalahkan mana-mana pihak tetapi ujuan sebenar perkahwinan itu bukan sekadar memenuhi firah insani tetapi bagi memastikan kelangsungan Islam itu berlaku hingga ke pembentukan generasi Muslim. ‘Ukur baju di badan sendiri’, andai diri sendiri masih goyah amal Islamnya, fikirkanlah, mampukah diri menjadi tempat pergantungan atau rujukan buat saudara muallaf yang bakal hidup bersama.

5 Ancaman Aqidah Melayu Islam


Aqidah membawa erti pegangan atau kepercayaan. Secara umumnya, kepercayaan ini terbahagi pula kepada dua bahagian iaitu aqidah yang benar dan aqidah yang salah. Segala bentuk perbuatan yang dilakukan dengan aqidah yang benar akan menjadi ibadah dan diterima Allah s.w.t. sedangkan amalan dengan aqidah yang salah bakal mengundang keburukan dan kecelakaan. Justeru itu, perkara berkaitan dengan aqidah tidak boleh dianggap suatu persoalan main-main atau boleh dipandang remeh sahaja. Antara ancaman-ancaman aqidah Melayu Islam yang berlegar di Malaysia sekarang ialah :


1. Ajaran Meragukan

Penyelewengan terhadap aqidah Islam bukan sekadar berlaku dalam ajaran yang merangkumi amalan agama Islam sahaja tetapi turut melibatkan ilmu seperti perdukunan Melayu, adat-adat Melayu, amalan persilatan, perayaan tradisi, sesetengah budaya/kesenian Melayu dan amalan hidup seharian. Ajaran Ayah Pin dengan Kerajaan Langitnya dan Haji Kahar Ahmad yang mengangkat dirinya sebagai Rasul di kalangan orang Melayu adalah beberapa contoh kesesatan yang nyata dapat dilihat kepincangan aqidahnya. Terlalu taksub pada pemimpin sesuatu ajaran seperti yang berlaku di dalam Al-Arqam juga boleh mencemarkan kesucian Islam dan mengubah prinsip-prinsip asas dalam aqidah Islam. Berapa ramai pula yang memuja tempat yang dianggap keramat atau percaya dengan ilmu kebal, sihir dan ilmu hitam yang lain? Semua bentuk ajaran ini boleh menjerumuskan pengamalnya kepada kesesatan.


2. Masyarakat Tak Bertuhan

Manusia secara fitrahnya mempunyai rasa ingin bertuhan. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir golongan yang mengaku bertuhan tetapi pada masa yang sama pegangan atau pembawaan mereka mencerminkan kehidupan yang seolah-olah tidak bertuhan. Misalnya, seorang yang berilmu atau mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu tidak menggunakan kelebihan yang mereka ada untuk kebaikan masyarakat sekeliling. Alasan yang diberi ialah tiada keuntungan yang mereka perolehi jika berbuat demikian. Amatlah sempit pemikiran sebegini, melihat hanya pada keuntungan dunia yang bersifat jangka pendek! Manusia yang bertuhan tidak akan putus asa untuk ‘memberi; kerana yakin sekecil manapun usaha yang dilakukan pasti dinilai oleh Yang Maha Adil. Manusia yang tidak percaya akan tuhan atau bersikap tak bertuhan akan mula hilang sikap kepedulian sosial dan cakna kepada kesusahan orang lain kerana berfikiran ianya tidak membawa keuntungan (profit). Akibatnya manusia yang pentingkan diri sendiri (individualism) serta fanatik dengan diri akan wujud malah lebih teruk lagi ia membawa kepada pertumbuhan sikap rasis yang melampau! Ia juga memecah perpaduan antara rakyat serta mengakibatkan rakyat merasa tidak selesa dengan undang-undang Islam seperti yang berlaku hari ini apabila ada yang mula mempertikai mahkamah syariah.

Bandingkan pula jenayah yang berlaku pada zaman dahulu berbanding zaman sekarang. Penjenayah ‘3 in 1’ berleluasa! Dahulu seorang penjenayah dihukum kerana satu kesalahan (misalnya menculik) yang mereka lakukan Kini, seorang penjenayah dihukum kerana 3 kesalahan (misalnya kes menculik, merogol, membunuh). Manusia semakin zalim akibat tidak mengenal Tuhan dan agama mereka sendiri!


3. Islam Liberal

Golongan Islam Liberal membawa fahaman hanya akal(rasionalisme) yang perlu digunakan dalam memahami agama mengikut keadaan zaman yang berlaku sekarang. Bagi mereka, tafsiran yang dibuat oleh ulama-ulama masa kini dan masa silam tidak boleh digunakan dalam memahami isi kandungan al-Quran mahupun hadis dan semua tafsiran tersebut ditolak mentah-mentah. Antara NGO yang kuat menyokong liberalisme di Malaysia ialah Sisters In Islam(SIS) dan Bar Council (Majlis Peguam Malaysia). SIS misalnya secara terang-terangan menyebarkan pemikiran feminisme yang turut sama dikaitkan dengan undang-undang keluarga Islam yang dianggap tidak adil dan pro kepada satu jantina sahaja. Selain penggunaan akal yang rasional, pengikut Islam Liberal juga amat mementingkan konsep hak asasi manusia yang sebenarnya diasaskan oleh Barat. Antara kebebasan yang dituntut ialah kebebasan dalam beragama, kebebasan menyuarakan pendapat, kebebasan individu dan sebagainya. Perlu diingatkan di sini bahawa kebebasan yang dituntut oleh golongan ini adalah tanpa adanya batas-batas agama ataupun hanya berdasarkan pemahaman agama yang sempit menggunakan logik akal.


4. Pluralisme Agama

Islam Liberal turut membawa bersama kefahaman baru dalam agama iaitu pluralisme agama. Fahaman ini memandang semua agama pada dasarnya sama dan tidak ada satu pun agama yang berhak menyatakan agamanya adalah satu-satunya agama yang benar. Apabila fahaman pluralisme mula meresap dalam ruang rongga masyarakat Islam, Islam tidak lagi dirasakan berbeza dari agama yang lain dan lanjutan dari fahaman ini, terjadinya syirik kerana menyamakan Allah s.w.t. dengan Tuhan agama-agama lain. Di Indonesia, telah wujud sebuah organisasi yang misi utamanya adalah menumbuhkan fahaman pluralisme dalam masyarakat Indonesia. Organisasi yang dinamakan ICRP(Indonesian Conference on Religion and Peace) ini telah dirasmikan pada 2000 oleh Presiden Indonesia ketika itu, Abdurrahman Wahid dan ahlinya terdiri daripada wakil-wakil agama seperti Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Sikh, Khonghucu, Baha’I dan Kepercayaan Sunda. Di Malaysia, cadangan mewujudkan Suruhanjaya Antara Agama atau Inter-faith Council (IFC) yang sama seperti ICRP telah disuarakan oleh sebuah badan bukan Islam iaitu Majlis Kristian Budha Hindu dan Sikh Malaysia (MCCBCHS). Antara tujuan IFC ditubuhkan adalah untuk menjadi sebuah suruhanjaya yang berkuasa penuh menerima dan melayan segala jenis aduan berkaitan agama dari segenap lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira agama yang dianuti serta mengubah ajaran mana-mana agama (terutama sekali agama Islam) apabila terdapat desakan daripada penganut agama-agama lain. Sebagai Muslim, kita patut sedar bahawa IFC hanya akan membahayakan masa depan Islam dan umatnya dan sokongan terhadap IFC adalah tidak perlu sama sekali.


5. Bertuhankan Dunia

Fahaman-fahaman seperti hedonisme dan materialisme yang menjadikan keseronokan dan kebendaan sebagai matlamat hidup kian menyuntik barah dalam kalangan umat Melayu Islam kini. Longgokan sumber-sumber hiburan yang mudah diperoleh dengan kegagalan media untuk menjadi medium untuk menyampaikan keadilan, kemanusiaan serta keimanan kepada masyarakat tambah memburukkan lagi keadaan. Lihat sahaja kajian Mastika ke atas jumlah penonton yang menghadiri Akademi al-Quran berbanding Konsert Gang-Starz LG. Golongan Melayu Islam yang muda rata-ratanya memilih untuk menghayati keseronokan yang bersifat sementara daripada menghayati ayat-ayat cinta dari Allah s.w.t. yang kekal selamanya. Ideologi materialisme pula telah menghancurkan nilai-nilai rohani/spiritual serta menjauhkan manusia daripada pegangan agama. Sebilangan besar golongan ini tetap mengakui kewujudan Tuhan tetapi fahaman materialisme mereka menyebabkan keutamaan mereka beralih kepada alam kebendaan.

Islam tidak lagi dilihat secara menyeluruh kerana bidang keagamaan dan ketuhanan dipisahkan dari bidang kehidupan yang lain. Selain sistem pendidikan sekolah yang bersifat sekular dan didikan keluarga yang kurang lengkap dari aspek keagamaan, keadaaan persekitaran juga telah mencorak sedikit demi sedikit pemikiran Melayu Islam kini. Secara tidak langsung, pengamalan kepercayaan aqidah tidak dihayati dan diamalkan sepenuhnya dalam kehidupan. Bagi mendepani masalah aqidah Melayu Islam ini, beberapa tindakan susulan perlu dilakukan. Antaranya ialah menyebarkanluaskan pengetahuan berkenaan punca dan kesan akibat kerosakan aqidah, peka dengan isu-isu terkini umat Islam terutamanya bila melibatkan hal aqidah Islam serta bertindak/riflek secara serius terhadap permasalahan tersebut. Pesanan buat diri sendiri dan umat Islam seluruhnya, bangunlah dari tidur, buka mata dan lihat dengan mata hati keadaan masyarakat di sekeliling anda. Rasakan keruntuhan aqidah yang semakin memberat dalam masyarakat Melayu Islam kini dan bertindaklah!

Friday, September 26, 2008

ku lihat layu dalam melayu...





Layu..

"Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat
dari melihat bangsaku dijajah
tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina"

Aku lihat layu dalam Melayu
Aku pasti bukan aku seorang sahaja yang nampak
Ada juga bercadang bertanya tuan punya
Tapi bercampur risau dengan tak tergamak
Nanti di kata tak bersyukur
Di kata tak sedar diri
Jadi aku menyendiri memerhati
Dan akhirnya mengakui
Yang kita sendiri membiarkan bunga raya layu ke kanan
Dan dibiar bunga tak cantik mekar di kiri

Aku lihat layu dalam Melayu
Tanah air kita yang punya kita siram kita baja
Tapi angin api kita lupa
Mereka merancang masa menjilat bangsa
13 Harimau bertukar menjadi mangsa
Kita lupa nenek moyang kaya raya
Jangan sekali- kali di gadai harta bendanya
Ku lihat layu dalam Melayu
Ku lihat layu dalam Melayu
Ku lihat layu dalam Melayu

Takkan Melayu hilang di dunia
Ya.Tapi apa guna tak hilang di dunia
Kalau kewujudan tidak dirasa
Petah berbahasa kudrat tak berjasa
Orang berbudi kita hanya tahu merasa
Selalu lari bila di rapat
Selalu malu bila soalan di aju
Selalu segan memberi pendapat
Rela mengikut dari meneraju
Belum nyanyi sudah bersorak
Suka berjanji dalam borak
Bukan kata tak ada otak
Cuma tak berfikir di luar kotak
Ku lihat layu dalam melayu
Ku lihat layu dalam melayu
Ku lihat layu dalam melayu

Aku jadi sayu
Bunga menangis dia mendayu
Mahu jadi cantik tapi ragu
Aku merayu
Bangunlah semula hidup kembali
Jangan tunggu matahari mati
Cepatlah mekar sebelum terlerai
Perjuangan kita belum selesai
Perjuangan kita belum selesai
Perjuangan kita belum selesai

"Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal dan tabah
dapat membina mercu tanda
bangsanya yang berjaya"

dedicate to all meLAYU..