Wednesday, October 22, 2008

Hantaran oh hantaran...

Semalam bersamaan 21 Nov 2008, pasangan popular Mawi dan Ikin telah mengumumkan tarikh pernikahan dan majlis resepsi mereka. Perkahwinan mereka ditunggu-tunggu kerana mereka merupakan pasangan popular dan akan menjadi "wedding of the year".

Semua perkara telah diumumkan. Tinggal lagi jumlah hantaran daripada pihak Mawi untuk Ikin. Menurut Mawi, beliau masih belum menetapkan jumlah hantaran. Pihak Ikin menyerahkan urusan jumlah hantaran sepenuhnya ke atas pihak Mawi. Pada firasat pembaca kalian, berapakah jumlah hantaran yang akan diberikan Mawi kepada Ikin?. Adakah akan disesuaikan dengan status Mawi sebagai artis no 1 Malaysia?. Adakah fenomena seperti artis-artis popular sebelum ini akan berulang dengan jumlah hantaran yang sangat tinggi dan bermain dengan angka.

Jumlah hantaran yang tinggi di kalangan artis telah mewujudkan satu fenomena yang kurang sihat dalam masyarakat. Masyarakat Melayu kini juga telah terikut-ikut dengan "trend" hantaran tinggi. Tidak menjadi satu masalah jika pihak lelaki berkemampuan. Namun, bagaimana jika pihak lelaki berpendapatan rendah ataupun memang tidak mampu untuk menyediakan hantaran yang tinggi. Trend hantaran tinggi ini juga membuatkan lelaki takut untuk berkahwin apabila memikirkan perbelanjaan yang perlu disediakan. Ia akan menjadi satu bebanan sehingga ada yang terdorong untuk membuat pinjaman peribadi. Akibatnya, selepas berkahwin pasangan dibebani dengan hutang. Lebih malang apabila sudah beranak-pinak pun hutang masih belum lagi habis dilangsaikan.

Perkahwinan pada asasnya ialah untuk menghalalkan hubungan di antara seseorang lelaki dengan perempuan. Islam hanya mewajibkan untuk memberi mas kahwin atau mahar kepada si isteri. Hantaran hanyalah sekadar adat masyarakat Melayu untuk perbelanjaan bagi pihak perempuan. Menurut pandangan Islam, sebaik-baik wanita adalah yang rendah maharnya. Namun, lelaki kini juga perlu relevan dengan keadaan semasa tetapi bukan bermakna sehingga membebankan diri. Pihak perempuan pula janganlah terlalu menekan pihak lelaki dengan meletakkan hantaran yang tinggi di luar kemampuan pihak lelaki. Di sini perlunya komunikasi dan perbincangan antara pihak lelaki dan perempuan.

Hantaran yang tinggi bukan jaminan kebahagiaan. Apa yang penting adalah kualiti peribadi pasangan suami isteri itu sendiri. Kesimpulannya, buatlah sesuatu mengikut kemampuan dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk.

Tuesday, October 21, 2008

Keluarga masa kini


Kebanyakkan wanita masa kini adalah wanita yang bekerjaya. Bukan lagi seperti dahulu yang hanya duduk di rumah, menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Wanita kini semakin dihambat waktu lantaran tugas-tugas yang tidak pernah selesai, dari awal pagi hinggalah malam.

Hebatnya wanita kini kerana menjadi superwoman. Mana tidaknya, bagi yang bekerja di pejabat sudah tentu dari pagi hinggalah ke petang berada di pejabat. Pulang sahaja ke rumah, tugasan rumah pula menanti. Mengurus anak-anak, memasak, mengemas, membasuh dan banyak lagi. Di sinilah letaknya belas kasihan seorang lelaki yang bernama suami. Jika dia merasa sayang dan simpati dengan keadaan isteri, maka segala tugas-tugas di rumah akan digalas bersama. Jika isteri sedang memasak misalnya, tidak membebankan bagi suami untuk menjaga dan mengawasi anak-anak. Oleh itu, segala susah payah dikongsi bersama dan sikap saling tolong-menolong dapat diaplikasikan dalam menguruskan sebuah rumahtangga.

Suami hari ini perlu lebih prihatin terhadap keadaan isterinya. Ingatlah besar jasa isteri anda yang telah membantu dalam meringankan perbelanjaan ekonomi keluarga. Bayangkan jika hanya anda seorang yang bekerja dengan keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang ini. Oleh itu, saya menyeru para suami untuk tidak lokek menyumbangkan tenaga dalam menguruskan rumahtangga. Percayalah bahawa apabila sikap saling bantu membantu dan saling faham-memahami wujud dalam rumahtangga, maka ikatan kasih sayang akan bertambah erat di antara suami dan isteri.

Manakala, bagi isteri pula, apabila si suami telah bertolak ansur dalam menguruskan rumahtangga, jangan pula anda mengambil kesempatan di atas kebaikan suami. Jangan bongkak dan mengungkit-ungkit sumbangan anda. Suami perlu ditaati walau sebesar mana pun pangkat yang anda ada dan sebanyak manapun harta yang anda miliki. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Sesungguhnya hidup berumahtangga ibarat kapal yang belayar di lautan. Suami sebagai pengemudi dan isteri sebagai anak kapal.

Konsep blog


Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah setelah pelbagai cabaran ditempuhi, akhirnya saya berjaya juga menyiapkan tugasan yang diberikan oleh Dr. Zul kepada kami sebagai tugasan individu. Dalam tugasan yang diberi beliau, beliau mengkehendaki setiap pelajarnya mencipta blog dan perlu “post” artikel berkaitan sepuluh isu seperti yang terdapat di dalam blog saya kini.

Blog saya ini berkonsepkan penyampaikan dakwah. Melalui blog ini, saya mengilhamkan idea-idea berkenaan isu-isu Islam. Melaluinya saya mencoretkan serba sedikit ilmu yang dimiliki, di samping untuk dijadikan sebagai renungan, peringatan, pengajaran dan juga panduan buat diri saya dan juga para pembaca sekalian. Jika dahulu saya hanya mengetahui dakwah boleh disampaikan melalui lisan, penulisan dan nasyid. Namun kini, saya menyedari bahawa dakwah boleh disampaikan menggunakan teknologi masa kini. Contohnya melalui blog seperti yang sedang saya lakukan. Ia merupakan medium yang mudah dan lebih dekat kepada para pembaca. Oleh itu, perlunya umat Islam mahir dalam bidang teknologi terkini agar dapat memanfaatkannya dan seterusnya dakwah Islamiyyah dapat dilaksanakan.

Blog saya diberi nama “dari bawah”. Saya memilih nama ini kerana setiap sesuatu kejayaan, kita perlu memulakannya dari bawah. Kita perlu mendaki untuk kita berada di puncak, dan apabila sudah berada di puncak, barulah kita akan merasai manisnya sesebuah kejayaan yang dicapai. Seperti juga saya yang bermula dari “zero”, saya belajar sedikit demi sedikit cara-cara untuk mengendalikan blog. Alhamdulillah walaupun tidak begitu mahir, namun asas-asasnya telah saya kuasai.

Saya amat berterima kasih kepada Dr. Zulkifli yang telah memberi dorongan untuk mempelajari mengendalikan blog. Buat teman-teman yang banyak membantu dan tidak lupa juga kepada “ sifu” saya yang merupakan seorang pelajar dalam bidang IT. Kepada beliau saya merujuk segala masalah berkaitan pengendalian blog ini. Insyaallah, selepas ini saya akan mengaplikasikan teknologi ini sebagai salah satu medium dakwah kepada para pembaca blog di luar sana.

Sunday, October 19, 2008

Akidah Islam


Sebagai umat Islam kita berpegang kepada akidah Islamiyyah. Akidah adalah satu bentuk keyakinan kepada Allah s.w.t. sebagai satu kuasa yang Maha Agung yang tiada tandingannya. Akidah akan tetap utuh dalam diri selagimana seseorang muslim itu tidak mempersekutukanNya, mengakui kewujudan dan kekuasaanNya serta tidak mempersoalkan tentang kekuasaannya.


Namun, pada masa kini kita melihat semakin ramai umat Islam yang rosak akidahnya. Akibat pengaruh-pengaruh barat yang membawa ideologi memusnahkan Islam secara halus. Selain itu juga, kurangnya ilmu pengetahuan tentang agama yang memudahkan ajaran-ajaran sesat masuk ke dalam jiwa-jiwa mereka. Pelbagai ideologi dari barat yang merosakkan akidah umat Islam. Gejala Black Metal misalnya secara terang-terangan telah merosakkan akidah para pengikutnya yang beragama Islam seperti melakukan aktiviti pemujaan dan membakar al-Quran. Kebanyakkan pengikutnya adalah remaja, iaitu golongan yang bakal memimpin agama dan negara pada masa akan datang.


Selain itu, banyak juga ajaran-ajaran sesat yang terdapat di Malaysia seperti Ajaran Ayahpin dan Ajaran Kahar. Ajaran-ajaran seperti ini telah merosakkan akidah pengikutnya kerana mereka terlalu mengagungkan ketua mereka disamping ajaran-ajaran dan kefahaman yang dibawa ternyata amat jauh menyimpang daripada landsan Islam yang sebenar. Mengambil contoh ajaran Kahar. Pengasas ajaran ini iaitu Kahar sendiri mendakwa dirinya adalah nabi yang diutus Allah bagi mewakili kaum Melayu. Beliau juga mendakwa mendapat wahyu dari Allah untuk membimbing kaum Melayu. Ajaran ini jelas sama sekali telah merosakkan akidah dirinya dan para pengikutnya kerana selain Nabi Muhammad s.a.w., tidak ada lagi nabi yang diutuskan Allah selepas baginda.

Kemunculan golongan-golongan yang membawa ideologi Islam liberal juga tanpa disedari boleh merosakkan akidah umat Islam. Islam liberal bermaksud Islam yang ditafsirkan mengikut akal dan perasaan, bukan berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Pengikut Islam liberal ini seolah-olah mahu mengetepikan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Antara NGO yang kuat memperjuangkannya ialah Sisters in Islam. Mereka memperjuangkan hak kebebasan wanita dalam semua segi walaupun dari sudut Islam wanita itu mempunyai kebebasan yang tertentu sahaja.

Oleh itu, sebagai umat Islam kita perlu berpegang teguh kepada akidah Islamiyyah. Jika mahu menyertai sebarang ajaran, pastikan ianya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu agama agar kita dapat membuat pertimbangan yang betul sekaligus tidak terjebak dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah kita sebagai umat Islam. Selagi kita bergelar seorang muslim, kita wajiblah berpegang teguh dan mengamalkan rukun Islam dan rukun iman sebagai asas pengangan seorang muslim.

Ekonomi Islam

Ekonomi merupakan penggerak kepada individu, masyarakat dan negara. Ekonomi yang mantap akan mewujudkan suasana yang stabil dalam kehidupan. Ekonomi Islam merujuk kepada ekonomi yang berlandaskan hukum-hukum Islam.

Sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk terbabit dalam bidang perniagaan. Islam telah menjanjikan bahawa 9/10 rezeki adalah melalui perniagaan. Rasullullah s.a.w juga telah menunjukkan contoh kepada kita bahawa baginda juga pernah terlibat di dalam perniagaan. Baginda telah mendapat keuntungan yang besar ketika berniaga di Syam kerana baginda bersifat jujur, amanah dan ikhlas ketika berniaga.

Begitulah yang dituntut dalam Islam di dalam perniagaan. Kita perlu bersikap jujur, amanah dan ikhlas. Elakkan daripada melakukan penipuan kerana sikap tersebut tidak akan membawa keuntungan yang berpanjangan dan tidak diberkati Allah. Namun, kebanyakkan peniaga hari ini hanya memikirkan keuntungan semata-mata dan tidak jujur di dalam perniagaannya. Kita ambil contoh peniaga makanan, berapa ramai di kalangan mereka yang tidak menjual kembali makanan yang tidak habis dijual pada hari sebelumnya?. Kadangkala kita dapati makanan yang dijual sudah rosak dan berbau. Apa yang menjadi pertikaian ialah di mana kejujuran mereka sebagai peniaga yang beragama Islam dan di mana rasa ehsan mereka ketika berniaga.

Seharusnya dalam bermuamalat, kita harus bersikap jujur dan amanah. Jangan hanya memikirkan tentang diri sendiri tetapi juga kita harus meletakkan diri di tempat orang lain. Sifat-sifat terpuji ini akan membantu memajukan lagi ekonomi umat Islam.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama meletakkan Islam dalam apa jua situasi kerana Islam itu sesuai diaplikasikan pada setiap keadaan dan ia membimbing manusia ke jalan kejayaan dan diredhai Allah s.w.t.