Saturday, October 18, 2008

Ilmu-ilmu Islam

Kini, semakin ramai ibubapa yang mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan di sekolah-sekolah aliran agama. Para ibubapa telah mempunyai kesedaran bahawa betapa pentingnya anak-anak dididik dengan ilmu agama sejak dari awal usia. Bermula dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat menengah.

Sekolah agama peringkat rendah mengajar tentang asas-asas fardhu ain seperti berwudhuk, bacaan-bacaan dalam solat, pembinaan akhlak mulia dan banyak lagi. Di peringkat menengah pula pengajaran dalam bidang agama lebih mendalam daripada sekolah menengah kebangsaan. Jika di sekolah menengah kebangsaan, hanya menyediakan subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Arab komunikasi. Berbeza dengan sekolah menengah agama yang menyediakan subjek Syariah, Usulluddin dan Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Tauhid, Mantiq dan banyak lagi. Dengan ini, anak-anak akan lebih memahami dan mendalami akan ilmu-ilmu Islam.

Jika di Institut Pengajian Tinggi, bidang-bidang tersebut dapat dipelajari dengan lebih mendalam lagi. Mengambil contoh Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya ada menyediakan lima pengkhususan dalam ilmu-ilmu agama seperti Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Syariah, Usulluddin dan Falsafah, Pengajian al-Quran dan al-Sunnah serta Pengajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam. Bidang Pengajian Dakwah dan Kepimpinan adalah satu bidang baru yang tidak terdapat dalam subjek khusus di sekolah. Bidang ini membimbing dan membentuk seseorang individu untuk menjadi seorang pendakwah. Ia merupakan satu bidang yang amat menarik dan amat diperlukan dalam dunia masa kini.

Ilmu-ilmu agama yang berkaitan dengan sains seperti ilmu falak juga merupakan satu bidang ilmu yang sangat menarik. Seharusnya, ramai umat Islam yang pakar di dalam bidang ini. Bidang ini mengkaji tentang ilmu cakerawala sekaligus lebih mendekati kebesaran dan kekuasaan Ilahi.

Selain mempelajari ilmu-ilmu agama secara formal, ilmu-ilmu agama ini juga boleh diperolehi dripada institusi yang bukan fomal. Contohnya seperti mengikuti pengajian di masjid dan berguru dengan orang-orang alim. Ia merupakan satu usaha yang amat baik dalam mendalami ilmu-ilmu agama kerana tidak semua orang mempunyai keinginan untuk mendalaminya.

Kini, banyak institusi swasta yang muncul untuk menampung permintaan dalam bidang agama. Sebagai umat Islam, kita mempunyai pilihan samada untuk lebih mendalami bidang ilmu-ilmu Islam atau sekadar hanya memerhatikannya dari jauh dan membiarkan non-muslim mendalami ilmu-ilmu Islam untuk menyerang umat Islam semula.

Seharusnya umat Islam lebih peka dengan musuh-musuh Islam yang cuba menghacurkan Islam secara halus. Oleh itu, umat Islam perlu mendalami ilmu-ilmu Islam sebagai satu benteng agar umat Islam tidak mudah kalah apabila musuh-musuh Islam menyerang Islam. Menuntut ilmu adalah dikira sebagai satu jihad ke jalan Allah s.w.t. Pada masa kini, teknologi maklumat merupakan satu senjata yang boleh membawa kebaikan dan juga keburukan dalam masa yang sama. Siapa yang menguasai teknologi maka ia akan berjaya menguasai pihak lain. Bidang teknologi maklumat juga boleh diaplikasikan dalam bentuk Islam apabila ia dikendalikan menurut perspektif Islam. Melaluinya Islam boleh disebarkan ke seluruh dunia tanpa sebarang had dan sempadan. Oleh itu, perlunya umat Islam menguasai bidang teknologi maklumat untuk menyebarkan dakwah Islamiyyah dan mempertahankan Islam daripada diceroboh pihak musuh.

Kesimpulannya, umat Islam perlu menguasai pelbagai cabang ilmu, samada ilmu agama ataupun bukan. Ini kerana, dengan ilmulah sesuatu masyarakat itu maju, dipandang tinggi dan tidak mudah diceroboh seterusnya melahirkan masyarakat Islam yang unggul.

1 comment:

Anonymous said...

hurmmm...mmg skrg ni ramai yg belumbe2 utk anto ank2 ke sek2 agama n amik aliran agama..
tp kn...yg pntg skrg ni bknnnye didikan agama..tp penghayatan agama tu yg penting..klu blajo tinggi2 tp xdihayati,x gune gak...
so bg sy penghayatan agama tu lg penting =)