Tuesday, October 14, 2008

Pembinaan keluarga Islam

Memiliki keluarga yang bahagia dan berjaya merupakan impian setiap insan. Bagi melahirkan sebuah keluarga yang bahagia dan berjaya, ia perlu ditunjangi oleh semangat keislaman yang kuat. Redha Allah s.w.t. adalah yang utama yang perlu dicari. Kebahagiaan dan kejayaan akan datang apabila keluarga tersebut diredhai oleh Allah.


Melalui pembinaan keluarga Islam, secara tidak langsung dakwah Islamiyyah dapat ditegakkan. Islam telah meletakkan tanggungjawab yang besar kepada setiap ahli keluarga samada sebagai seorang bapa, ibu atau anak-anak. Sebagai seorang bapa dan ibu, tanggungjawabnya untuk memberikan pendidikan, pengetahuan, dakwah dan bimbingan kepada ahli keluarganya. Pembinaan keluarga seperti inilah yang akan menyelamatkan dan menjaga setiap individu dalam keluarga dari kejahatan, porak peranda dan kemusnahan.


Saiyidina Ali bin Abi Talib dan Ibn Abbas telah menyatakan “Berikan pendidikan, ajarilah dengan ketaatan kepada Allah, serta takutlah dari kemaksiatan. Didiklah anggota keluargamu dengan zikir yang akan menyelamatkan dari api neraka”

( Ibnu Katsir & At Tabari).


Selain itu, Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda berkaitan dengan tanggungjawab keluarga muslim ini :

“Ketahuilah bahawa kalian semua adalah pemimpin, dan kalian akan ditanya tentang kepemimpinan kalian. Pemimpin di antara manusia dia akan ditanya tentang kepemimpinannya. Laki-laki adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia akan ditanya tentang kepemimpinannya. Isteri adalah pemimpin dalam rumah tangga serta anak-anak suaminya dan dia akan ditanya tentang mereka. Pembantu/ hamba adalah pemimpin dari harta tuannya dan dia akan ditanya tentangnya. Ketahuilah bahwa kamu sekalian adalah pemimpin dan kalian akan ditanya tentang tentang kepemimpinannya” (HSR Bukhari).


Jika dikaitkan dengan kehidupan masa kini, seharusnya pembinaan keluarga Islam dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan sempurna. Ini kerana, pelbagai teknologi yang dapat membantu dalam pembinaan keluarga Islam. Mengambil contoh teknologi maklumat. Melaluinya, ibu bapa boleh mendapatkan ilmu-ilmu berkaitan pembinaan keluarga cemerlang, dunia dan akhirat dengan mudah dan melalui pendekatan yang terkini.


Namun apa yang menyedihkan, kemajuan yang dicapai kini menjadikan sesetengah ibu bapa mengabaikan asas pembinaan keluarga Islam. Mereka hanya sibuk mengejar kemajuan dunia tanpa menyedari betapa pentingnya untuk mebina keluarga dan anak-anak yang patuh pada ajaran agama. Akibatnya, institusi kekeluargaan runtuh dan anak-anak menjadi individu yang bermasalah. Anak-anak kekurangan perhatian dan kasih sayang dan sentiasa mahu memberontak sebagai tanda protes mereka. Akibatnya, individu muslim yang berkualiti semakin berkurangan di dalam masyarakat.


Oleh itu, penting bagi ibu bapa menerapkan nilai-nilai keislaman dalam membina sesebuah keluarga. Ia tidak lain hanyalah untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t. dan seterusnya melahirkan individu muslim yang berkualiti untuk masyarakat dan agama.

1 comment:

BINTANG HATI : said...

assalamualaikum..tahniah kepada saudari kerana dapat mencipta satu blog yang menarik disamping kandungannya juga mempunyai informasi yang berguna kepada khalayak...semoga saudari terus mempunyai idea yang bernas untuk dicurahkan dalam penulisan bolg..