Sunday, October 19, 2008

Ekonomi Islam

Ekonomi merupakan penggerak kepada individu, masyarakat dan negara. Ekonomi yang mantap akan mewujudkan suasana yang stabil dalam kehidupan. Ekonomi Islam merujuk kepada ekonomi yang berlandaskan hukum-hukum Islam.

Sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk terbabit dalam bidang perniagaan. Islam telah menjanjikan bahawa 9/10 rezeki adalah melalui perniagaan. Rasullullah s.a.w juga telah menunjukkan contoh kepada kita bahawa baginda juga pernah terlibat di dalam perniagaan. Baginda telah mendapat keuntungan yang besar ketika berniaga di Syam kerana baginda bersifat jujur, amanah dan ikhlas ketika berniaga.

Begitulah yang dituntut dalam Islam di dalam perniagaan. Kita perlu bersikap jujur, amanah dan ikhlas. Elakkan daripada melakukan penipuan kerana sikap tersebut tidak akan membawa keuntungan yang berpanjangan dan tidak diberkati Allah. Namun, kebanyakkan peniaga hari ini hanya memikirkan keuntungan semata-mata dan tidak jujur di dalam perniagaannya. Kita ambil contoh peniaga makanan, berapa ramai di kalangan mereka yang tidak menjual kembali makanan yang tidak habis dijual pada hari sebelumnya?. Kadangkala kita dapati makanan yang dijual sudah rosak dan berbau. Apa yang menjadi pertikaian ialah di mana kejujuran mereka sebagai peniaga yang beragama Islam dan di mana rasa ehsan mereka ketika berniaga.

Seharusnya dalam bermuamalat, kita harus bersikap jujur dan amanah. Jangan hanya memikirkan tentang diri sendiri tetapi juga kita harus meletakkan diri di tempat orang lain. Sifat-sifat terpuji ini akan membantu memajukan lagi ekonomi umat Islam.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama meletakkan Islam dalam apa jua situasi kerana Islam itu sesuai diaplikasikan pada setiap keadaan dan ia membimbing manusia ke jalan kejayaan dan diredhai Allah s.w.t.

No comments: