Thursday, October 9, 2008

Penuntut Islam Di IPT


Saban waktu isu tentang penuntut Islam di IPT menjadi perbualan hangat. Jika isu tersebut merupakan isu yang positif, tak mengapa. Namun, isu-isu yang sering bermain di mulut masyarakat dan media massa adalah isu-isu yang negatif, isu-isu yang boleh meruntuhkan imej Islam tanpa disedari.

Isu gejala sosial seperti seks dan pengambilan dadah dan lai-lain seperti sudah sinonim dengan penuntut Islam. Hampir setiap kali isu seperti ini didedahkan media, yang "popular"nya adalah penuntut Islam kita. Mengapa ini terjadi?. Bagaimana ia boleh berlaku sedangkan penuntut-penuntut Islam kita mempunyai asas panduan dalam melayari kehidupan mereka.

Sahabat-sahabat yang dikasihi, masih ingatkah kalian tentang isu "seks tepi tangga" yang pernah menggegarkan negara suatu ketika dahulu?. Pendedahan tersebut telah memberi imej yang negatif kepada penuntut Islam khasnya dan umat Islam umumnya. Bayangkan perasaan ibubapa yang melihat, mendengar dan mengetahui cerita tersebut. Hancur luluh segala harapan dan impian mereka. Selama ini mereka menyangka anak mereka belajar dan hidup dengan baik walaupun jauh dari pemantauan keluarga. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Bukan setakat isu seks yang ditekankan, isu pengambilan dadah dan gejala sosial yang lain di kalangan pelajar Melayu yang beragama Islam juga tidak kurang hebatnya. Entah mengapa jumlah mereka yang terlibat dengan gejala negatif ini lebih ketara berbanding penuntut agama lain. Apabila penuntut-penuntut Islam kita sudah terjebak ke dalam gejala ini, di manakah lagi kualiti penuntut Islam yang diharapkan untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara suatu hari nanti.

Berdasarkan kajian dan penelitian terhadap kes-kes seperti ini, ia berpunca daripada kurangnya benteng iman di dalam diri. Walaupun mengalami kejutan budaya, tekanan perasaan, kesempitan hidup ataupun masalah-masalah lain yang membelenggu, namun jika setiap masalah dihadapi dengan iman yang mantap di dalam diri, gejala sosial seperti ini tidak berlaku.

Oleh itu, saya mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabat yang lain, perkukuhkan iman di dalam diri. Sentiasa bijak memandu diri walau di mana juga kita berada. Sentiasa membaca al-Quran, berzikir, muhasabah diri dan sentiasa mengingati mati.

Bangkitlah, sedarlah wahai penuntut-penuntut Islam sekalian. Kepintaran dan kebijaksanaan yang telah Allah anugerahkan peliharalah dan gunakanlah dengan semaksimum mungkin. Ingatlah bahawa kitalah generasi muda yang akan memimpin keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara.

ALLAHU AKBAR!
ALLAHU AKBAR!
ALLAHU AKBAR!

No comments: