
Jumlah hantaran yang tinggi di kalangan artis telah mewujudkan satu fenomena yang kurang sihat dalam masyarakat. Masyarakat Melayu kini juga telah terikut-ikut dengan "trend" hantaran tinggi. Tidak menjadi satu masalah jika pihak lelaki berkemampuan. Namun, bagaimana jika pihak lelaki berpendapatan rendah ataupun memang tidak mampu untuk menyediakan hantaran yang tinggi. Trend hantaran tinggi ini juga membuatkan lelaki takut untuk berkahwin apabila memikirkan perbelanjaan yang perlu disediakan. Ia akan menjadi satu bebanan sehingga ada yang terdorong untuk membuat pinjaman peribadi. Akibatnya, selepas berkahwin pasangan dibebani dengan hutang. Lebih malang apabila sudah beranak-pinak pun hutang masih belum lagi habis dilangsaikan.
Perkahwinan pada asasnya ialah untuk menghalalkan hubungan di antara seseorang lelaki dengan perempuan. Islam hanya mewajibkan untuk memberi mas kahwin atau mahar kepada si isteri. Hantaran hanyalah sekadar adat masyarakat Melayu untuk perbelanjaan bagi pihak perempuan. Menurut pandangan Islam, sebaik-baik wanita adalah yang rendah maharnya. Namun, lelaki kini juga perlu relevan dengan keadaan semasa tetapi bukan bermakna sehingga membebankan diri. Pihak perempuan pula janganlah terlalu menekan pihak lelaki dengan meletakkan hantaran yang tinggi di luar kemampuan pihak lelaki. Di sini perlunya komunikasi dan perbincangan antara pihak lelaki dan perempuan.
Hantaran yang tinggi bukan jaminan kebahagiaan. Apa yang penting adalah kualiti peribadi pasangan suami isteri itu sendiri. Kesimpulannya, buatlah sesuatu mengikut kemampuan dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk.