Saturday, October 18, 2008

Ilmu-ilmu Islam

Kini, semakin ramai ibubapa yang mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan di sekolah-sekolah aliran agama. Para ibubapa telah mempunyai kesedaran bahawa betapa pentingnya anak-anak dididik dengan ilmu agama sejak dari awal usia. Bermula dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat menengah.

Sekolah agama peringkat rendah mengajar tentang asas-asas fardhu ain seperti berwudhuk, bacaan-bacaan dalam solat, pembinaan akhlak mulia dan banyak lagi. Di peringkat menengah pula pengajaran dalam bidang agama lebih mendalam daripada sekolah menengah kebangsaan. Jika di sekolah menengah kebangsaan, hanya menyediakan subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Arab komunikasi. Berbeza dengan sekolah menengah agama yang menyediakan subjek Syariah, Usulluddin dan Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Tauhid, Mantiq dan banyak lagi. Dengan ini, anak-anak akan lebih memahami dan mendalami akan ilmu-ilmu Islam.

Jika di Institut Pengajian Tinggi, bidang-bidang tersebut dapat dipelajari dengan lebih mendalam lagi. Mengambil contoh Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya ada menyediakan lima pengkhususan dalam ilmu-ilmu agama seperti Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Syariah, Usulluddin dan Falsafah, Pengajian al-Quran dan al-Sunnah serta Pengajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam. Bidang Pengajian Dakwah dan Kepimpinan adalah satu bidang baru yang tidak terdapat dalam subjek khusus di sekolah. Bidang ini membimbing dan membentuk seseorang individu untuk menjadi seorang pendakwah. Ia merupakan satu bidang yang amat menarik dan amat diperlukan dalam dunia masa kini.

Ilmu-ilmu agama yang berkaitan dengan sains seperti ilmu falak juga merupakan satu bidang ilmu yang sangat menarik. Seharusnya, ramai umat Islam yang pakar di dalam bidang ini. Bidang ini mengkaji tentang ilmu cakerawala sekaligus lebih mendekati kebesaran dan kekuasaan Ilahi.

Selain mempelajari ilmu-ilmu agama secara formal, ilmu-ilmu agama ini juga boleh diperolehi dripada institusi yang bukan fomal. Contohnya seperti mengikuti pengajian di masjid dan berguru dengan orang-orang alim. Ia merupakan satu usaha yang amat baik dalam mendalami ilmu-ilmu agama kerana tidak semua orang mempunyai keinginan untuk mendalaminya.

Kini, banyak institusi swasta yang muncul untuk menampung permintaan dalam bidang agama. Sebagai umat Islam, kita mempunyai pilihan samada untuk lebih mendalami bidang ilmu-ilmu Islam atau sekadar hanya memerhatikannya dari jauh dan membiarkan non-muslim mendalami ilmu-ilmu Islam untuk menyerang umat Islam semula.

Seharusnya umat Islam lebih peka dengan musuh-musuh Islam yang cuba menghacurkan Islam secara halus. Oleh itu, umat Islam perlu mendalami ilmu-ilmu Islam sebagai satu benteng agar umat Islam tidak mudah kalah apabila musuh-musuh Islam menyerang Islam. Menuntut ilmu adalah dikira sebagai satu jihad ke jalan Allah s.w.t. Pada masa kini, teknologi maklumat merupakan satu senjata yang boleh membawa kebaikan dan juga keburukan dalam masa yang sama. Siapa yang menguasai teknologi maka ia akan berjaya menguasai pihak lain. Bidang teknologi maklumat juga boleh diaplikasikan dalam bentuk Islam apabila ia dikendalikan menurut perspektif Islam. Melaluinya Islam boleh disebarkan ke seluruh dunia tanpa sebarang had dan sempadan. Oleh itu, perlunya umat Islam menguasai bidang teknologi maklumat untuk menyebarkan dakwah Islamiyyah dan mempertahankan Islam daripada diceroboh pihak musuh.

Kesimpulannya, umat Islam perlu menguasai pelbagai cabang ilmu, samada ilmu agama ataupun bukan. Ini kerana, dengan ilmulah sesuatu masyarakat itu maju, dipandang tinggi dan tidak mudah diceroboh seterusnya melahirkan masyarakat Islam yang unggul.

Undang-undang Islam


Manusia diciptakan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi khalifah serta memakmurkan muka bumi ini. Seharusnya manusia hidup di dunia ini dengan saling tolong-menolong, hormat menghormati dan berada di atas landasan ukhuwah dan mahabbah. Islam telah menyediakan undang-undang untuk manusia jadikan panduan dan seterusnya mengikutinya.

Undang-undang Islam merupakan undang-undang yang paling sempurna dan fleksibel pada setiap masa, tempat, keadaan dan juga zaman. Sumber undang-undang Islam adalah dari Allah s.w.t. Ia dicipta sebagai memudahkan dan membimbing manusia ke jalan yang benar dan diredhai Allah s.w.t dan seterusnya akan melahirkan kedamaian dan kemakmuran jika diikutinya.

Allah s.w.t. telah mencipta undang-undang dalam setiap aspek kehidupan. Bermula dari sistem ekonomi, keluarga, harta, kehidupan sosial dan banyak lagi. Mengambil contoh dalam undang-undang kehidupan sosial misalnya, Allah telah menetapkan bahawa membunuh, mencuri, berzina dan minum arak adalah haram dan perlu dijauhi. Jika melakukannya akan dikenakan hukuman qisas bagi yang membunuh, hudud bagi yang mencuri dan minum arak serta sebat atau rejam bagi mereka yang berzina. Tujuan Allah menciptakan undang-undang ini antaranya adalah untuk mengelak timbulnya keburukkan, huru-hara dan juga kemunduran dalam sesuatu masyarakat.

Namun, tidak banyak negara di dunia ini yang mengamalkan undang-undang Islam sepenuhnya walaupun negara tersebut bergelar negara Islam. Antara negara yang mengamalkan undang-undang Islam ini adalah Mesir dan Arab Saudi. Tidak dapat diketahui di mana khilafnya sehingga negara Islam sendiri tidak mahu mengamalkan undang-undang Islam sepenuhnya. Pelbagai alasan yang diberikan. Antaranya, rakyat yang berbilang agama dan kaum dan tidak sesuai dijalankan di zaman moden.

Alasan-alasan seperti ini hanya dikeluarkan oleh mereka yang tidak faham akan konsep Islam sepenuhnya. Mereka tidak menghayati dan secara tidak langsung telah meletakkan undang-undang ciptaan Allah bukan di tempat yang tinggi. Namun, pada hakikatnya terselindung hikmah yang besar disebalik hukuman dan peraturan yang telah ditetapkan Allah. Qisas misalnya, apabila ia dijalankan di hadapan umum ia bertujuan untuk memberi pengajaran kepada yang melihat. Secara psikologinya, mereka yang melihat upacara hukuman qisas yang dijalankan akan merasa gerun dan akan menjadi satu muhasabah kepada dirinya untuk melakukan pembunuhan. Begitu juga halnya dengan had potong tangan bagi yang mencuri dan sebat bagi yang peminum arak.

Namun, dalam dunia hari ini kita melihat pembunuhan, kecurian, penzinaan dan minum arak seperti sesuatu yang tidak menjadi kesalahan besar. Kes-kes seperti ini banyak berlaku di Malaysia sebagai sebuah negara yang dilabel “Negara Islam”. Itu belum lagi jenayah-jenayah dalam lingkungan kehidupan harian seperti riba’ dan rasuah. Mungkin jika Malaysia mengamalkan undang-undang Islam sepenuhnya maka jenayah-jenayah seperti ini akan amat berkurangan jumlahnya.

Oleh itu, sebagai umat Islam dan rakyat yang duduk di bawah Negara Islam, marilah kita sama-sama menegakkan syiar Islam dengan melakukan yang baik dan menjauhi yang mungkar.

Tuesday, October 14, 2008

Pembinaan keluarga Islam

Memiliki keluarga yang bahagia dan berjaya merupakan impian setiap insan. Bagi melahirkan sebuah keluarga yang bahagia dan berjaya, ia perlu ditunjangi oleh semangat keislaman yang kuat. Redha Allah s.w.t. adalah yang utama yang perlu dicari. Kebahagiaan dan kejayaan akan datang apabila keluarga tersebut diredhai oleh Allah.


Melalui pembinaan keluarga Islam, secara tidak langsung dakwah Islamiyyah dapat ditegakkan. Islam telah meletakkan tanggungjawab yang besar kepada setiap ahli keluarga samada sebagai seorang bapa, ibu atau anak-anak. Sebagai seorang bapa dan ibu, tanggungjawabnya untuk memberikan pendidikan, pengetahuan, dakwah dan bimbingan kepada ahli keluarganya. Pembinaan keluarga seperti inilah yang akan menyelamatkan dan menjaga setiap individu dalam keluarga dari kejahatan, porak peranda dan kemusnahan.


Saiyidina Ali bin Abi Talib dan Ibn Abbas telah menyatakan “Berikan pendidikan, ajarilah dengan ketaatan kepada Allah, serta takutlah dari kemaksiatan. Didiklah anggota keluargamu dengan zikir yang akan menyelamatkan dari api neraka”

( Ibnu Katsir & At Tabari).


Selain itu, Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda berkaitan dengan tanggungjawab keluarga muslim ini :

“Ketahuilah bahawa kalian semua adalah pemimpin, dan kalian akan ditanya tentang kepemimpinan kalian. Pemimpin di antara manusia dia akan ditanya tentang kepemimpinannya. Laki-laki adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia akan ditanya tentang kepemimpinannya. Isteri adalah pemimpin dalam rumah tangga serta anak-anak suaminya dan dia akan ditanya tentang mereka. Pembantu/ hamba adalah pemimpin dari harta tuannya dan dia akan ditanya tentangnya. Ketahuilah bahwa kamu sekalian adalah pemimpin dan kalian akan ditanya tentang tentang kepemimpinannya” (HSR Bukhari).


Jika dikaitkan dengan kehidupan masa kini, seharusnya pembinaan keluarga Islam dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan sempurna. Ini kerana, pelbagai teknologi yang dapat membantu dalam pembinaan keluarga Islam. Mengambil contoh teknologi maklumat. Melaluinya, ibu bapa boleh mendapatkan ilmu-ilmu berkaitan pembinaan keluarga cemerlang, dunia dan akhirat dengan mudah dan melalui pendekatan yang terkini.


Namun apa yang menyedihkan, kemajuan yang dicapai kini menjadikan sesetengah ibu bapa mengabaikan asas pembinaan keluarga Islam. Mereka hanya sibuk mengejar kemajuan dunia tanpa menyedari betapa pentingnya untuk mebina keluarga dan anak-anak yang patuh pada ajaran agama. Akibatnya, institusi kekeluargaan runtuh dan anak-anak menjadi individu yang bermasalah. Anak-anak kekurangan perhatian dan kasih sayang dan sentiasa mahu memberontak sebagai tanda protes mereka. Akibatnya, individu muslim yang berkualiti semakin berkurangan di dalam masyarakat.


Oleh itu, penting bagi ibu bapa menerapkan nilai-nilai keislaman dalam membina sesebuah keluarga. Ia tidak lain hanyalah untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t. dan seterusnya melahirkan individu muslim yang berkualiti untuk masyarakat dan agama.

Friday, October 10, 2008

Penghayatan Islam

Bulan Ramadhan telah pun berlalu. Setelah menempuh pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang Bulan Ramadhan, kini Syawal menjelmakan diri. Bagi mereka yang menghayati nikmatnya bulan Ramadhan pastinya akan sedih dan sayu. Pelbagai hikmah yang diperolehi sepanjang Bulan Ramadhan jika kita menghayati dengan sebenar-benarnya . Hikmah dari sudut yang tersirat dan tersurat.

Perkara yang paling nyata sepanjang Bulan Ramadhan ialah kita tidak perlu untuk kelam kabut mengejar waktu makan tengahari. Bagi yang bergelar suri rumah pula, mereka tidak perlu untuk bergegas untuk masak makan tengahari. Nyatanya, ia telah menjimatkan kos dan juga tenaga.

Itu jika dilihat dari sudut luaran. Dari sudut dalaman pula, ia merehatkan sistem organ dalaman kita untuk bekerja. Tubuh badan kita akan merasa lebih cergas dan kuat walaupun hakikatnya kita hanya makan ketika bersahur dan juga ketika berbuka.

Bagi yang merokok juga, Bulan Ramadhan inilah waktu untuk mereka berhenti untuk seketika daripada merokok. Jika pada hari-hari selain hari berpuasa, mereka tidak mampu untuk mebebaskan diri dari belenggu rokok. Namun, dengan penghayatan dan niat yang ikhlas untuk menjalankan ibadat kepada Allah s.w.t., maka ia berjaya dilaksanakan.

Hakikatnya, di Bulan Syawal ini kita juga perlu merebut peluang untuk puasa sunat 6. Fadhilat yang Allah janjikan amat besar bagi mereka yang menghayati Islam. Apabila kita telah berpuasa di bulan Ramadhan dan diikuti dengan puasa 6 hari di bulan Syawal, maka ganjarannya seperti berpuasa setahun. Namun kita janganlah berpuasa semata-mata mengharapkan ganjaran Allah. Apa yang paling penting ialah setiap ibadat hendaklah diniatkan hanyalah LILLAHI TAALA.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengambil setiap peluang ibadat yang ada. Ingatlah, sementara sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, lapang sebelum sempit, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati.

Marilah sama-sama kita renungkan dan selamat beramal!

Politik Islam


Sistem politik Islam bermula pada zaman Rasulullah s.a.w. yang dimulai dengan pembentukan kerajaan Islam yang pertama di dunia. Rasulullah s.a.w. berjaya membentuk sebuah kerajaan yang amat sistematik di samping penduduknya hidup aman dan makmur walaupun dalam pelbagai kaum pada ketika itu. Kejayaan Rasulullah s.a.w. ini didorong oleh dasar-dasar baginda yang menjadikan al-Quran dan al-Sunnah di dalam pentadbirannya.

Antara matlamat sistem pentadbiran/ politik Islam ialah:

1) Hifzuddin ( menjaga agama )

Menjaga agama dan mendirikannya menjadi prinsip asas dalam melaksanakan perintah Allah dan hukum syarak dalam semua peringkat dan keadaan. Oleh itu, aspek hifzuddin ini perlulah menjadi prioriti dalam melaksanakan pentadbiran Islam. Ia selaras dengan ayat Al-Quran dalam Surah al-Haj ayat 41 yang bermaksud :

"( iaitu ) orang-orang yang jika Kami berikan kedudukan di bumi, mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah kemungkaran, dan kepada Allahlah kembali segala urusan.."


2) Hifzul 'aql ( menjaga akal )

Tujuan memelihara akal dalam pentadbiran Islam atau politik Islam ialah untuk mencegah manusia agar tidak mudah dicerobohi atau dikotori oleh sifat-sifat mazmumah dari segi rohani, jasmani dan mental. Gejala-gejala yang boleh merosakkan akal hendaklah dijauhi seperti arak, dadah dan sebagainya. Apabila akal sihat dan terpelihara dari sebarang kejahatan, maka pelaksanaan pentadbiran akan berjalan dengan lancar di atas landasan Islam yang sebenar.


3) Hifzunnafs ( menjaga jiwa )

Menjaga jiwa juga merupakan antara matlamat sistem politik Islam. Islam amat menitik beratkan soal menjaga jiwa. Setiap jiwa manusia mempunyai nilai yang sangat tinggi yang perlu dipelihara dengan sebaiknya. Pembunuhan, pencerobohan ke atas jiwa-jiwa manusia tidak boleh berlaku sewenang-wenangnya. Oleh itu, pelaksanaan syariah seperti Qisas dan hudud dalam sistem pentadbiran Islam dapat menghalang perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t. daripada berlaku dengan berleluasa.


4) Hifz al-syarf ( menjaga kemuliaan / kehormatan )

Kemuliaan ummah perlu dipelihara agar umat Islam sentiasa dipandang tinggi dan tidak mudah untuk diperkotak-katikkan. Dunia hari ini dapat dilihat bahawa umat Islam di sesetengah negara ditindas dan diperlakukan seperti nyawa yang tidak bernilai. Ia terjadi kerana sistem pentadbirannya goyah dan jauh dari landasan Islam sebenarnya. Seharusnya memelihara kemuliaan ummah ini dapat dipraktikkan dengan mengaplikasikan ahklak Islam dalam bermuamalah dalam setiap situasi dan keadaan.


5) Hifzulmal ( menjaga harta )

Pentadbiran Islam juga bertujuan untuk menjaga harta awam dan individu dan membantu untuk memperolehinya melalui jalan yang halal. Undang-undang Islam yang telah ditetapkan melindungi harta awam dan individu daripada dicerobohi dan dimusnahkan. Maka keamanan dan kemajuan dapat diperolehi apabila setiap individu dipandu dengan sistem pentadbiran Islam